Cintailah Negara Kita

Assalamualaikum...

Sudah 3 bulan blog untukmu-jiwa ini di lancarkan. Semoga pembaca-pembaca sekalian dapat maanfaat daripada kata-kata hikmah yang saya berikan, dan mendapat sedikit ilmu daripada info-info dan petua-petua yang disertakan di dalam blog ini.
Tujuan utama blog ini adalah untuk berkongsi ilmu dan memotivasikan pembaca-pembaca semua agar dapat meneruskan kehidupan dengan lebih tabah dan berjaya. Dengan adanya blog ini saya berharap agar kita semua dapat membuka minda kita dengan lebih luas dalam meneliti setiap perkara didalam kehidupan kita dan membuat keputusan dengan lebih baik untuk masa depan, Ugama, Bangsa dan Negara. Bersatulah kita dalam menegakkan yang benar dengan cara yang bijak dan berhemah. Bersama-sama kita mewujudkan komuniti yang lebih baik di Malaysia bermula dari keluarga kita sendiri.

Individu membentuk Keluarga,
Keluarga membentuk Kampung,
Kampung membentuk Daerah,
Daerah membentuk
Negeri,
Negeri membentuk Negara.


Amat jelas di sini, untuk kita mewujudkan sebuah negara yang baik, kita perlu mulakan daripada diri kita dan keluarga kita dulu. Jika institusi keluarga berada di dalam keadaan yang baik dan terkawal, kurangnya gejala-gejala yang tidak berfaedah dan buruk dilakukan oleh ahli keluarga kita, Insyaallah sebuah negara yang aman dan makmur akan wujud. Rosaknya sesebuah negara itu, selalunya bermula dengan kepincangan keluarga. Keluarga yang rumahtangganya porak peranda, akan membawa kepada tekanan perasaan dan mental kepada anak dan ahli keluarga itu sendiri. Apabila keadaan begini berlaku, mereka akan mencari jalan untuk meredakan tekanan dengan cara berseronok dan dengan cara yang salah. Amat kurang yang mengambil jalan yang elok, seperti berzikir, solat dan berpuasa untuk memelihara jiwa dan raga mereka, kerana kurangnya pendedahan kepada nilai-nilai murni ugama.
Mari kita fikirkan, jika dalam sesebuah kampung itu mempunyai 10 buah keluarga yang porak peranda, kemungkinan akan terdapat 10 orang anak yang akan melakukan perkara-perkara yang buruk seperti merempit, mengambil dadah, minum arak dan berzina untuk melepaskan tekanan. Dan jika dalam komuniti kampung itu terdapat 10 orang seperti ini, mereka akan dapat mempengaruhi orang-orang yang lain untuk bersama-sama melakukan perkara yang buruk. Dan ini akan menjadikan kampung itu tidak aman. Jenayah akan berleluasa dan jika tidak dibendung, kampung itu mungkin akan menjadi sarang jenayah yang terkenal. Bagaimana kita nak menjadikan negara kita aman dan makmur jika keadaan ini berlaku? Sama-sama lah kita fikirkan nya.

Adakah kita ingin anak bangsa kita menjadi seperti gambar di bawah?
Mereka sentiasa di dalam ketakutan sehinggakan perlu membawa senjata untuk mempertahankan diri.



Adakah ini yang kita ingin berlaku di negara kita? Jagalah keluarga kita dengan baik. Jangan kerana kita tidak mengambil kisah tentang perilaku anak-anak kita, ugama, negara dan bangsa kita yang menjadi mangsanya.
Didiklah anak-anak dengan Ilmu Ugama yang sepatutnya. Didiklah anak-anak dengan Kasih-Sayang yang Suci dan Ikhlas. Terapkan pada mereka, bahawa wang bukanlah segalanya, harta bukanlah sesuatu yang kekal, Iman dan Taqwa lah yang perlu ada supaya kita sentiasa di landasan yang benar. Insyaallah...

Teruskan bersama dengan saya untuk dapatkan Himpunan Kata-Kata Hikmah setiap hari dan Info-info ilmiah yang bermanfaat buat kita semua.


Ikhlas,
-Asfandi-

Comments